Hasil semasa Pahang dah lebih pada tahun lalu

Hasil semasa Pahang dah lebih pada tahun lalu

KUANTAN: Walaupun baru memasuki Ogos, negeri ini sudah memecahkan rekod hasil tahun lalu apabila mencatatkan sebanyak RM868 juta sehingga Jumaat lalu.

Tahun lalu, Pahang mencatatkan hasil sebanyak RM866 juta berbanding RM850 juta tahun pada 2020.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pencapaian membanggakan itu diperoleh hasil pengurusan kewangan yang cekap dan efisyen dengan meminimumkan ketirisan dan menaikkan cukai tanah kepada syarikat-syarikat korporat.

“Pendapatan kita (negeri) pada 2019 mencatatkan RM847 juta, 2020 (RM850 juta), 2021 (RM866 juta) dan tahun ini kita sasarkan sebanyak RM1 bilion.

“Setakat hari ini (Jumaat) saya dimaklumkan Pegawai Kewangan Pahang (Dato’ Indera Nazri Abu Bakar) kita sudahpun memperoleh sebanyak RM868 juta, lebih RM2 juta berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Makan Malam dan Perjumpaan YAB Menteri Besar Bersama Kepemimpinan UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid; Setiausaha UMNO Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar serta Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, hasil yang diperoleh akan dikembalikan semula kepada rakyat bagi meringankan beban kehidupan masing-masing.

“Kita dapat hasil ini pun dengan tidak menyusahkan rakyat, kita naikkan cukai tanah kepada mereka yang ada 10 ekar (4.04 hektar) ke atas dan terbaru kita dapat daripada TNB (Tenaga Nasional Bhd) yang menggunakan tanah kita untuk membina pencawang elektrik,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN