Hasil tani percuma buat seratus ibu tunggal

Hasil tani percuma buat seratus ibu tunggal

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang menyumbang sekurang-kurangnya 850 kilogram pelbagai hasil tani buat seratus ketua isi rumah di daerah ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin itu adalah pertama kali diadakan khusus untuk golongan terbabit.

Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri berkata, tujuan utama program itu diadakan untuk membantu meringankan beban golongan ibu tunggal yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, antara sayuran yang diagihkan ialah kacang bendi, sawi, terung mini, keledek oren, ubi kayu dan pisang berangan.

“Sepanjang tahun ini kita mengadakan pelbagai program CSR di bawah MAFI membabitkan sumbangan sayuran dan buah-buahan kepada petugas barisan hadapan, rumah kebajikan, asnaf, mangsa bencana alam dan mereka yang terkesan dengan PKP.

“Kita turut membantu 32 gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh,” katanya pada program MAFI Prihatin di Kolej Komuniti Pekan, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Pembangunan) Fama Yazid Yusob dan Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Noranyza Mohamad Yusoff.

Program itu diadakan dengan kerjasama Kolej Komuniti Pekan, Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Pekan dan Persatuan Perempuan Daerah Pekan.