Hasnul idam kesebelasan utama

Hasnul idam kesebelasan utama

PEMAIN muda Sri Pahang FC, Hasnul Zaim Zafri berazam menempatkan diri dalam senarai skuad utama apabila saingan Liga Super bersambung.

Pemain pertahanan itu berkata, pengalaman yang dimiliki ketika diberi peluang beraksi selaku pemain utama berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dimanfaat sebaiknya.

“Saya teruja apabila disenaraikan selaku pemain utama ketika seri 2-2 berdepan JDT pada 18 Mei lalu, satu pengalaman yang banyak membantu meningkatkan prestasi dan keyakinan saya.

“Oleh itu, saya harap sebaik liga bersambung nanti, jurulatih (Christophe Gamel) akan memilih saya sekali lagi,” kata pemain kelahiran Kuantan itu.

Musim ini, Hasnul yang baru berusia 20 tahun, beraksi selaku pemain utama ketika berdepan JDT dan skuad Projek FAM-MSN.

Sebagai pemain muda, ia peluang terbaik buat bekas pemain Piala Presiden Sri Pahang itu untuk mempamerkan aksi cemerlang. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN