Hati-hati aokme memandu nak balik kampung cuti Tahun Baru Cina ni

Hati-hati aokme memandu nak balik kampung cuti Tahun Baru Cina ni

KUANTAN: Jumlah pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dijangka meningkat sempena sempena Tahun Baru Cina, pada awal minggu depan.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata ini kerana ia kali pertama sejak dua tahun lalu, masyarakat Cina dibenarkan merentas negeri bagi menyambut perayaan itu bersama keluarga.

Justeru, katanya, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan mengikut jadual cadangan yang dikeluarkan ANIH.

“Sebagai persediaan berdepan jangkaan itu, kami meningkatkan kekerapan jadual sanitasi dan pembersihan di semua kemudahan awam di Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di sepanjang lebuh raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Radzimah berkata, jadual cadangan waktu perjalanan sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina turut diedarkan kepada orang awam bersama 1,400 pelitup muka di plaza tol sepanjang KLK dan LPT1.

“Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya dinasihat memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan baik dan mempunyai baki kad Touch N’ Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelak kesesakan di pusat tambah nilai,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN