KUANTAN: Bilangan mangsa banjir di negeri ini bertambah seramai 435 orang daripada 136 keluarga sehingga jam 8 malam ini, berbanding 399 orang daripada 118 keluarga, jam 4 petang tadi.
Mengikut laporan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Pahang, sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah iaitu di Lipis, Temerloh dan Bera.
“Jumlah mangsa terjejas di Lipis ialah seramai 79 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua PPS, manakala Temerloh mencatatkan 331 mangsa daripada 103 keluarga yang ditempatkan di satu PPS.
“Di Bera pula, seramai 25 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di dua PPS,” petik laporan itu. – HELMY ABD RAHMAN