Hati-hati lalu KLK, LPT1 bila nak balik kampung

Hati-hati lalu KLK, LPT1 bila nak balik kampung

KUANTAN: Anih Berhad menjangkakan peningkatan kepada 207,500 kenderaan sehari di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula 28 April hingga 8 Mei depan.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, 100,000 kenderaan sehari pula membabitkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Berdasarkan rekod, katanya, Lebuhraya KLK mencatatkan 145,231 kenderaan pada setiap hujung minggu manakala LPT1 pula mencatatkan 45,600 kenderaan.

Menurutnya, sebagai persediaan, Anih Berhad meningkatkan usaha memastikan keadaan Lebuhraya KLK dan LPT1 berada dalam keadaan baik dengan melakukan kerja pembaikan jalan raya.

“Anih Berhad juga giat meningkatkan kemampuan tenaga kerja bagi menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memastikan kesesakan musim perayaan ini dapat dikurangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil termasuk menambah bilangan jurutol seiring dengan penambahan lorong di plaza tol daripada 100 kepada 151 lorong.

Di samping itu, katanya, syarikat itu akan mengedarkan cadangan waktu perjalanan di Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Temerloh termasuk kaunter Pusat Khidmat Pelanggan, minggu ini.

“Anih Berhad akan meningkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan menerusi langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kemalangan termasuk kekerapan rondaan pasukan LPT Ronda.

“Kami juga meningkatkan jumlah aset dan tenaga kerja bagi mempercepatkan tempoh masa tindak balas di lebuh raya dan mengaktifkan laluan kontra sekiranya berlaku kemalangan.

“Justeru, pengguna dinasihatkan melakukan pemanduan secara berhemah dan bersabar untuk keselesaan semua,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN