Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com.my
KUANTAN: Penduduk di sekitar Sungai Lembing dan Bukit Kuin, di sini, khususnya pengguna jalan raya diminta berhati-hati ketika memandu berikutan berlaku kerosakan jalan di kawasan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, berdasarkan tinjauan, banyak jalan berlubang yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Katanya, beliau menerima aduan mengenai kerosakan jalan raya dan dengan itu pengguna perlu berwaspada.
Selain itu, katanya, beliau turut menerima aduan jambatan di Sungai Riau Bukit Kuin dan cerun bukit yang runtuh di sepanjang jalan Bukit Kuin hingga ke Kampung Melayu, Sungai Lembing.
“Oleh itu, pendekatan awal yang dilakukan ialah dengan meninjau ke lokasi terbabit bagi mengenal pasti kerosakan terbabit.
“Hasil tinjauan ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memaklumkan mereka kini menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membaik pulih semua kerosakan,” katanya.