KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang akan memantau 13 laluan `hotspot’ di negeri ini sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula Jumaat ini hingga 8 Mei depan.
Laluan itu ialah Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), Jalan Kuantan-Kemaman, Jalan Kuantan-Gambang, Jalan Kuantan-Pekan, Jalan Kuantan-Temerloh-Karak (jalan lama), Jalan Temerloh-Jerantut dan Jalan Bentong-Raub-Lipis-Central Spine Road (CSR) Merapoh.
Selain itu, Jalan Kuantan-Segamat, Jalan Simpang Jengka-Bandar Pusat Jengka, Jalan Tanah Rata-Sempadan Cameron Highlands Tapah, Jalan Paloh Hinai-Bandar Pekan, Jalan Bukit Ibam-Muadzam Shah-Rompin dan Jalan Bahau-Keratong.
Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin, berkata pemantauan laluan itu bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan pada musim perayaan.
Katanya, penguatkuasaan lebih tegas membabitkan sembilan kesalahan utama iaitu antaranya tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah, menggunakan telefon bimbit.
“Kesalahan lain ialah memandu lebih had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Ops HRA di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini, hari ini.
Katanya, seramai 325 anggota JPJ Pahang akan terbabit sepanjang operasi berkenaan.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN