KUANTAN: Sebanyak 2.352 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bermula 8 hingga 11 Julai ini.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata daripada jumlah itu, pihaknya menjangkakan 1.648 juta kenderaan akan menggunakan KLK, manakala 704,000 lagi di LPT1.
Katanya, penambahan jumlah kenderaan itu sempena sambutan Aidiladha, terutama bagi mereka yang akan menyempurnakan ibadah korban dan mengambil peluang bersama keluarga memandangkan cuti hujung minggu yang panjang.
“Berdasarkan ‘trend’ hujung minggu yang stabil sejak awal tahun ini, purata harian kenderaan pada hujung minggu di KLK adalah 161,000, manakala di LPT1 pula 65,000 kenderaan.
“Antara langkah diambil ANIH Berhad bagi meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini menerusi penambahan petugas sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, Anih Berhad yakin pengguna kini lebih cakna dengan persediaan yang diperlukan bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat menjelang sambutan Aidiladha.
“Perayaan Aidiladha adalah kali ketiga rakyat negara ini berpeluang pulang ke kampung halaman sejak negara memasuki fasa endemik tahun ini.
“Demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, ANIH Berhad menasihatkan pengguna memandu dengan berhemah dan memastikan keadaan kenderaan optimum. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN