KUANTAN: Penduduk Lepar Utara, di sini, berulang-alik di Jalan Lepar Utara diminta sentiasa berhati-hati ketika menggunakan laluan itu.
Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata ini kerana kerja pembinaan sedang dilaksanakan.
“Saya mohon anda semua sentiasa berhati-hati semasa kerja-kerja pembinaan sedang berjalan ok. Keselamatan dan keselesaan anda semua adalah keutamaan saya.
“Apa yang paling penting bagi saya adalah keselamatan dan keselesaan penduduk Lepar Utara terjamin. Saya akan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa berkenaan perkembangan keadaan jalan ini.
“Diharapkan, penduduk Lepar Utara dapat bersama-sama dengan saya memantau pelaksanaan projek ini dan jika ada yang tidak mengikuti seperti mana yang dijadualkan sila memaklumkan segera kepada saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jalan Lepar Utara adalah laluan utama penduduk Lepar Utara yang runtuh dan rosak teruk, dalam kejadian banjir, pada Disember lalu.
Keadaan itu menyebabkan penduduk terputus hubungan beberapa hari sehinggakan terpaksa menggunakan jalan alternatif yang dibuat sendiri.
Beliau berkata, selepas beberapa siri lawatan dan perbincangan yang diusahakan, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) meluluskan dua pembaikan di lokasi itu iaitu kerja pembaikan pembentung dan cerun.
“Bagi pembaikan cerun, kerja reka bentuk telah siap dilaksanakan. Kontraktor dijangka memulakan kerja di tapak pada 21 Februari ini (hari ini) dan dijangka siap pada 19 Julai depan.
“Bagi pembaikan pembentung, kerja pembersihan pada `inlet culvert’ pula sudah pun bermula pada 12 Februari lalu.
“Kerja pembaikan `culvert’ dijangka dapat dilaksanakan pada 14 Mac depan setelah kerja pembersihan selesai dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 April depan,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN