LIPIS: Pendaki wanita yang cedera ketika mendaki Gunung Tahan berjaya dibawa turun dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang, petang semalam.
Nur Kyariatul Syafinie Abdul Majid, 40, dari Seri Kembangan, Selangor, yang cedera di lutut dan buku lali kanan tidak boleh meneruskan pendakian serta memerlukan bantuan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kumpulan itu terdiri daripada sepuluh individu iaitu lima lelaki, empat wanita, malim gunung dan mula mendaki Gunung Tahan melalui Sungai Relau, Merapoh, pada 7 November lalu.
Menurutnya, kumpulan berkenaan dijadualkan tiba semula ke Kuala Juram, pada 10 November.
“Maklumat mengenai kecederaan wanita itu diterima oleh anggota Balai Polis Merapoh daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), pada kira-kira 5 petang, kelmarin.
“Wanita itu cedera ketika dalam perjalanan turun ketika hendak memasuki kawasan Taman Negara melalui Sungai Relau, Merapoh. Dia cedera dan terkandas di Kem Botak. Kecederaan itu menyukarkan dia untuk bergerak dan lokasi kejadian ke pintu masuk Kuala Juram,” katanya.
Beliau berkata, pihak penyelamat cuba membawa keluar mangsa pada petang hari yang sama tetapi gagal berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan.
“Semua rakannya bermalam di satu daripada check-point dan akan turun hari ini,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE