KUALA LUMPUR: Intipati daripada ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 hari ini perlu dihayati dan dijiwai seterusnya dilaksanakan setiap ahli parti, kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, ahli UMNO juga perlu bekerja kuat bagi memastikan rakyat kembali yakin dengan parti berkenaan.
“Alhamdulillah pada pengamatan dan pendengaran saya, satu ucapan yang sangat bagus telus dan berterus terang.
“Saya harap perwakilan dapat merasai, menjiwai dan komited serta melaksanakan apa yang disarankan presiden (Ahmad Zahid),” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata, ahli UMNO seharusnya mengambil berat saranan Ahmad Zahid supaya menggunakan cara baharu untuk mendekati rakyat dan pengundi.
“Kena kerja kuat… ada beberapa perubahan yang disentuh tadi dan kita tak boleh gunakan cara atau kaedah lama untuk mendekati rakyat atau pengundi dan kita kena berubah,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN