Masa terbaik untuk umat Islam khususnya di Pahang untuk mempraktikkan elemen penyatuan
Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com‘
KUANTAN: Sekarang adalah masa terbaik untuk umat Islam khususnya di Pahang untuk mempraktikkan elemen penyatuan seperti ditunjukkan Rasulullah SAW, kata Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, sekiranya umat Islam terus berpecah dek kerana perbezaan fahaman politik, ia hanya akan menguntungkan pihak ketiga dan musuh Islam.
“Antara elemen penting dalam ciri kepimpinan politik Rasulullah adalah elemen penyatuan. Dari permulaan gerakan dakwah pertama melalui proses penghijrahan baginda dari Mekah ke Yathrib yang menyaksikan penyatuan kaum Aus, Khazraj dan Yahudi kepada pembukaan kota Madinah dengan piagam Madinah, hinggalah kepada hubungan antarabangsa kerajaan baginda dan kerajaan luar, elemen penyatuan itu penting bagi keamanan dan kesejahteraan semua pihak.
“Bagi kita di Malaysia, elemen penyatuan inilah yang amat diperlukan pada ketika ini. Di kala kita terus dilanda musibah penularan wabak Covid-19, kita perlu memastikan kebersatuan dapat diwujudkan tidak kira fahaman politik ataupun pendapat mengenai apa jua isu.
“Sekiranya kita mahu melihat Malaysia berjaya menangani krisis ini, kita perlu mewujudkan persekitaran politik yang stabil dan ini hanya akan dapat berlaku dengan penyatuan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul di laman Facebooknya, hari ini.
Tambah beliau, adalah wajar untuk semua rakyat bersama-sama memperingati sifat-sifat terpuji baginda terutama ketika berdepan pelbagai cabaran hari ini.
“Sebagai umat Islam, baginda Rasulullah adalah rujukan utama dalam apa jua keadaan sekalipun, kerana baginda adalah insan terpilih yang diutuskan oleh Allah S.W.T untuk mengajar kita untuk menjadi khalifah di bumi ini.
“Pada ketika kita berdepan pelbagai dugaan, adalah wajar untuk kita semua bersama-sama memperingati sifat-sifat terpuji baginda seperti ketabahan, kecekalan dan kesabaran dalam menempuhi cabaran,” katanya.