Henti merajuk, cari makanan di rumah kakak

Henti merajuk, cari makanan di rumah kakak

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

MUADZAM SHAH: Lelaki Orang Asli yang dikatakan hilang 96 jam lalu akhirnya pulang ke rumah kakaknya berikutan terlalu lapar sepanjang persembunyiannya di dalam hutan, malam tadi.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi, berkata pihaknya dimaklumkan oleh batin Kampung Kundang, Wahid Abdullah, bahawa pemuda itu, Zali Yasa, 19, datang ke rumah kakaknya, kira-kira dua kilometer daripada hutan.

“Saya sudah bertemu dengan keluarga pemuda itu bagi mendapatkan cerita sebenar kenapa dia (Zali) bertindak melarikan diri ke dalam hutan sehingga membimbangkan banyak pihak.

“Selain konflik rumah tangga yang berlarutan dan mudah merajuk menjadi faktor dia bersembunyi dalam hutan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, dia sudah mengarahkan batin dan keluarga kedua-dua pihak supaya berusaha membantu menyelesaikan konflik rumah tangga Zali dan isterinya.

Johari berkata, beliau mengucapkan terima kasih pada anggota polis, Bomba dan Penyelamat Pahang, Unit K9 Bomba dan Penyelamat Malaysia yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, pihaknya dan Bomba dan Penyelamat memutuskan menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Katanya, SAR disertai kira-kira 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Bomba dan Penyelamat, K9 serta dibantu 25 penduduk Orang Asli setempat.

“Disebabkan terlalu lapar dan kesejukan berikutan hujan lebat petang semalam, mendorong lelaki terbabit mengambil keputusan pergi rumah kakaknya.

“Kita telah mengambil keterangan  batin Kampung Kundang, keluarga lelaki terbabit dan penduduk setempat berikutan kejadian terbabit,” katanya.