KUANTAN: Pengguna media sosial dinasihatkan tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.
Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pengguna media sosial diminta tidak ‘post’ dan ‘forward’ sebarang bentuk teks, video serta audio membabitkan institusi raja, agama dan kaum.
Selain itu, katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab yang membabitkan hasutan, fitnah, penghinaan, perkataan jelek dan lucah juga tidak wajar disebarkan.
“Ia dikategorikan sebagai `hate speech’ yang boleh mendatangkan kegusaran awam atau menggugat ketenteraman awam.
“Penyebaran sedemikian adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Akta Hasutan 1948, Seksyen 500/504/505 Kanun Keseksaan.
“Jika siasatan mendapati ada kesalahan, pesalah akan dituduh di mahkamah dan mungkin menerima hukuman setimpal,” katanya dalam kenyataan hari ini.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN