Hentikan sengketa ketika negara berdepan COVID-19

Hentikan sengketa ketika negara berdepan COVID-19

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah bukan masanya untuk perebutan kuasa dan bersengketa ketika negara bergelut dengan penularan wabak COVID-19.

Sebaliknya, titah baginda, inilah masanya semua bersatu padu tanpa mengira agama, warna kulit, apatah lagi fahaman politik.

“Kita harus menang peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan ini. Dalam keadaan wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat ini, sikap bersatu padu dan tolong menolong amatlah penting untuk kita amalkan,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Pahang Tahun 1443 Hijrah 2021 `Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ secara dalam talian, hari ini.

Baginda bertitah, umat Islam harus menerima ujian penularan wabak yang dihadapi ketika ini dengan keyakinan bahawa ia adalah ketentuan dan ujian daripada Allah SWT.

Sehubungan itu, titahnya, hanya kepada Allh SWT, umat Islam memohon doa supaya dijauhkan daripada penyakit dan wabak terbabit.

“Di samping itu, sebagai umat Islam, wajib untuk tidak berputus asa dan sentiasa berusaha untuk mencari langkah penyelesaian terbaik,” titahnya. 

Selain itu, baginda menyeru semua pihak termasuk Kerajaan Pahang, agensi kerajaan, wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta, penghulu, ketua kampung dan jawatankuasa masjid dan surau sentiasa cakna kepada rakyat yang memerlukan bantuan ketika pandemik.

“Saya tidak mahu ada rakyat saya yang berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai makanan serta keperluan asas untuk meneruskan kehidupan.

“Satu bakul makanan yang berharga lebih kurang RM100 mungkin kecil tetapi bagi mereka yang susah, ia amat besar nilainya.

“Saya menasihatkan supaya kita sentiasa prihatin kepada kejiranan masing-masing dan memberikan bantuan bersesuaian kepada mereka yang memerlukan,” titahnya.