‘Hidup BN! Undi BN!’, laung si Mustafa 

‘Hidup BN! Undi BN!’, laung si Mustafa 

KUANTAN: “Saya penyokong tegar BN (Barisan Nasional) dan selamanya akan pangkah logo dacing,” kata warga emas, Mohd Mustafa Abu Bakar, 61.

Peniaga kedai makan UTC Kuantan itu berkata, sejak hari pertama kempen, dia sudah ‘menjenguk’ semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan bilik gerakan sekitar bandar Kuantan sebagai tanda sokongan kepada BN.

Menurutnya, dia akan membuat rondaan menggunakan skuter yang mempunyai bendera lambang BN dua kali sehari iaitu pada siang dan malam.

“Setiap kali meronda, saya akan berhenti sama ada di kedai makan atau di tepi jalan sambil laungkan perkataan ‘hidup BN!, undi BN!’ dan dibalas dengan laungan yang sama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Mustafa terharu apabila kehadirannya diterima baik malah orang ramai turut memberi sokongan kepadanya untuk teruskan aktiviti berkenaan sehingga tamat tempoh berkempen.

“Semangat saya naik mendadak, berkobar-kobar untuk keluar mengundi dan berharap pengundi turut memilih BN,” katanya.

Menurutnya, kaedah yang digunakan itu secara tidak langsung dapat menarik sokongan pengundi atas pagar dan pengundi muda juga orang lama untuk bersama BN.

“Saya mengharapkan BN menang di Parlimen Kuantan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU-15), Sabtu ini.

“BN adalah parti keramat orang Melayu. Sejak umur 21 tahun lagi saya sudah bersama UMNO dan BN. Saya sudah lalui susah senang bersamanya. Tidak mungkin saya berpaling arah menyokong pihak lain,” katanya.- NUR HANNAH KHADIJAH