Himpunan 200 anak rantau Jelai ceriakan majlis berbuka puasa

Himpunan 200 anak rantau Jelai ceriakan majlis berbuka puasa

KUANTAN: Kira-kira dua ratus anak rantau Jelai berbuka puasa bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di satu hotel terkenal di Kuala Lumpur, semalam.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, berkata beliau gembira dapat bersua dengan kumpulan itu kerana ada dalam kalangannya sudah lama tidak bertemu.

“Istimewa sangat sebab dapat beramah mesra dan berbuka puasa bersama anak rantau Jelai di ibu kota. 

“Alhamdulillah, program yang julung kali diadakan ini berjaya menghimpunkan lebih 200 anak rantau Jelai pelbagai peringkat umur. 

“Sebahagian besar mereka sudah lama tidak saya temui. Tetapi apabila bertemu, kami tetap mesra seperti dulu. Mengingatkan saya kepada ibu bapa mereka di Jelai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bagi mengeratkan hubungan silaturrahim, beliau bercadang untuk mengadakan pertemuan seperti itu dengan lebih kerap. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN