Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Menjadi hobi buat pemilik beca, Sazali Yussoff, 61, menghias kenderaan miliknya itu dengan Jalur Gemilang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan 2021.
Kali ini dengan bermodalkan RM50, dia menghias beca miliknya dengan menggantung lebih 20 Jalur Gemilang pelbagai saiz.
Sazali berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menghias beca miliknya itu sejak 2019.
“Tahun lalu, saya dan beberapa rakan yang memiliki basikal klasik menyertai program berkayuh melalui beberapa laluan utama di bandar Pekan termasuk mengelilingi kampung.
“Selain ingin memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan selain memperkenalkan beca dan basikal klasik kepada generasi muda yang mungkin sudah lupa dengan kenderaan itu,” katanya, di sini semalam.
Katanya, walaupun beca miliknya berusia lebih 50 tahun, ia masih boleh digunakan dan dikayuhnya setiap minggu ke pasar besar Pekan untuk membeli barangan dapur.