SKUAD hoki lelaki dan wanita Pahang, masing-masing menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Pahang pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022, malam tadi.
Pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad lelaki Pahang menewaskan Johor 1-0, manakala gandingan wanita pula membenam cabaran Selangor 2-1.
Gol tunggal Muhammad Idris Samad pada minit akhir perlawanan mengesahkan Pahang menjulang pingat emas, sekali gus memadam hasrat Johor yang terpaksa akur membawa pulang perak.
Kemenangan itu juga menamatkan kemarau 26 tahun skuad lelaki Pahang meraih emas selepas kali terakhir melakukannya pada 1996.
Sementara itu, skuad wanita Pahang pula menamatkan penantian 14 tahun selepas melakukannya pada 2008.
Pada perlawanan itu, gol gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Nur Atiqah Najwa Sutimi dan Wan Norfatihah Md Saiuti pada minit ke-25 dan m-60 manakala gol tunggal Selangor dijaringkan oleh Nur Irdina Asnida Mohd Yusmi pada m-53.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN