Hospital Maran bernilai RM350 juta dibina tahun depan

Hospital Maran bernilai RM350 juta dibina tahun depan

MARAN: Hospital Maran yang akan dibina tahun depan, akan menjadi pusat sehenti bagi kajian penyakit berjangkit pertama di Pantai Timur.

Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Abdul Muttalib, berkata projek pembinaan hospital bernilai RM350 juta itu diluluskan sejak 2018 namun tergendala selepas Kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, tender berkaitan pembinaannya juga akan dibuka tahun depan, selepas Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu diluluskan.

“Kerja tanah di kawasan ini sudah dimulakan namun proses tender hanya boleh dibuat apabila bajet diluluskan.

“Projek ini membabitkan kawasan seluas kira-kira 20 hektar dan apabila siap kelak, Hospital Maran dapat memberi manfaat kepada lebih 140,000 penduduk di daerah ini,” katanya selepas melakukan tinjauan di tapak pembinaan hospital berkenaan di Kampung Batu 55, Jalan Kuala Sentul – Maran, dekat ini, semalam. 

Menurutnya, pembinaan hospital itu juga dapat memberikan kemudahan kepada penduduk sekitar jika berlaku kecemasan kerana jarak hospital terdekat berada di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh sejauh 48 kilometer (km). 

“Hospital lain terletak di Bandar Pusat Jengka kira kira 55km dari Maran dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pula jaraknya lebih 70km.

“Jadi, pembinaan hospital di Maran adalah satu keperluan dan perlu diberi keutamaan,” katanya. 

Beliau berkata, kelewatan proses pembinaan hospital itu berpunca daripada perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Sebab itulah kita perlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil bagi memastikan semua perancangan untuk kepentingan rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE