Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Sambutan Aidiladha kali ini dilalui dalam penuh suram buat penduduk di 13 lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Lokaliti Berisiko Daerah Kuantan.
Pergerakan penduduk terbatas apabila mereka tidak dibenarkan keluar daripada kampung dan taman tanpa sebab yang dibenarkan pihak berkuasa.
Bagi Amir Saidon Md Yunus, 58, ini kali kedua Taman Seri Inderapura diletakkan dalam PKPD dan kali pertama tahun lalu apabila terdapat beberapa penduduk dijangkiti wabak COVID-19 hingga menyebabkan kematian.
Menurutnya, kes sama berlaku kali ini apabila PKPD selama dua minggu bermula Ahad lalu ditetapkan pihak berkuasa dan kebetulan tempoh itu sama dengan sambutan Aidiladha.
“Ibadah korban yang sepatutnya diadakan juga terpaksa dibatalkan. PKPD menambahkan lagi suram Aidiladha apabila semua laluan keluar masuk ditutup,” katanya, di sini, hari ini.
Dia yang lebih 22 tahun menetap di Taman Seri Inderapura, berkata dirinya reda dengan apa yang berlaku dan berharap semua penduduk dapat mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.
Penduduk Taman Indera Sempurna, Mokhtar Sharif, 54, berkata Aidiladha kali ini disambut dalam suasana sederhana bersama ahli keluarga di rumah masing-masing.
“Hanya duduk di rumah. Solat sunat Aidiladha pun di rumah. Hari raya korban kali ini disambut dalam suasana kurang ceria,” katanya yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
Sementara itu tinjauan di Taman Seri Inderapura mendapati terdapat individu bertemu saudara dan kenalan sambil menyerahkan juadah raya di sempadan kawat berduri di laluan ke Taman Bunut Rendang yang ditutup sepenuhnya.