KUANTAN: Kerajaan Pahang meluluskan tanah 38.68 hektar dekat Kampung Kolong Pahat, Sungai Lembing, Mukim Hulu Kuantan, diwartakan sebagai Hutan Simpan Sungai Lembing.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kelulusan itu diberikan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) keempat, pada 26 Januari lalu.
Menurutnya, tanah milik kerajaan dekat Kampung Kolong Pahat itu diwartakan sebagai hutan simpan kekal mengikut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.
Katanya, Hutan Simpan Sungai Lembing yang kedudukannya berbukit terbahagi kepada dua plot iaitu A dan B, yang masing-masing seluas 15.98 dan 22.7 hektar.
Dr Mohd Hizamri berkata, pewartaan itu memberi kuasa kepada JPNP untuk menyelia dan menguruskan kawasan terbabit daripada sebarang aktiviti tanpa kebenaran.
Malah, katanya, individu yang berada dalam kawasan berkenaan tanpa permit turut boleh didakwa.
Katanya, jabatan juga sudah telah 3,000 pokok balak berkualiti tinggi di kawasan berkenaan dalam usaha untuk memulihara Hutan Simpan Sungai Lembing. – MOHD IMRAN IZZAD