KUANTAN: Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) yang diperkenalkan Kerajaan Pahang akhir Mac lalu, sudah menerima 1,100 permohonan.
I-PUSH diwujudkan bagi membantu usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah, berkata pemohon bagi tiga kawasan iaitu Temerloh, Kuala Krau dan Jerantut sudah selesai menjalani sesi temuduga, manakala sebahagian lagi masih berjalan.
“Sesi temuduga di Jerantut sudah selesai sepenuhnya, begitu juga di Temerloh dan Kuala Krau, manakala di kawasan lain dijangkakan selesai pertengahan bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyempurnakan Majlis Penutup Karnival Usahawan Negeri Pahang di Serambi Teruntum di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Zaky Moh.
Skim pembiayaan I-PUSH tidak mempunyai kadar faedah dan tempoh pembiayaan tahun pertama diberikan moratarium.
Dalam perkembangan lain, Nazri berkata, kerajaan negeri bercadang mewujudkan pusat perkhidmatan teknologi retort atau penstrilan untuk kemudahan usahawan makanan di negeri ini.
“Menerusi teknologi ini, produk dihasilkan usahawan mampu bertahan lebih lama tanpa menjejaskan struktur dan rasa.
“Ia dilihat satu keperluan ketika ini, tetapi kita tidak mempunyainya, jadi cadangan ini akan dibawa dalam mesyuarat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) untuk dipertimbangkan dan sekiranya diluluskan, ia mungkin dibina di Jerantut sebelum diperluaskan ke tempat lain,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN