Ibu muda sarat mengandung juarai Tilawah al-Quran peringkat negeri Pahang

Ibu muda sarat mengandung juarai Tilawah al-Quran peringkat negeri Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yusoff

am@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Walaupun sedang sarat mengandung, ia bukan penghalang untuk Norhanani Ayob melakukan yang terbaik sehingga dinobatkan johan kategori qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang 2021M/1442H yang diadakan di sini, malam ini.

KUANTAN 25 MAC 2021. Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur kali ke 64, Norhanani Ayob dari Bentong. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  Lebih mengagumkan apabila dia yang mengandung anak sulung hanya sempat melakukan persediaan tiga hari sahaja sebelum menyertai majlis berkenaan yang berlangsung sejak Selasa (23 Mac) lalu.  

  Norhanani, 25, yang mewakili Bentong berkata, dia langsung tidak menyangka dapat sekali lagi bergelar juara selepas menang pertandingan sama, tahun lalu.

  “Saya tak sangka menang lagi tahun ini dan tidak menyasarkan untuk jadi juara, tambahan pula sekarang sedang mengandung enam bulan dan nafas lebih pendek.

  “Tapi bila diumumkan menang dan dapat markah lebih tinggi iaitu 86.5 mata berbanding 83 mata tahun lalu, saya berasa amat bersyukur… mungkin rezeki anak,” katanya ketika ditemui selepas majlis berakhir.

  Menurutnya, kemenangan itu membuatkannya lebih bersemangat untuk bersaing dengan johan dari negeri lain dalam tilawah peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Jun.

  “Bersaing di pentas kebangsaan amat berbeza dari banyak segi, contohnya juri, penonton dan perasaan juga lebih gugup.

  “Kali ini saya nak tebus kesilapan dan perbaiki kelemahan pada kejohanan tilawah kebangsaan tahun lalu. Saya rasa bersemangat biarpun ketika tilawah berlangsung nanti saya semakin hampir melahirkan,” kata guru mengajar taranum itu.

  Bagi Huzaifah Abdul Sukir, 32, yang muncul johan kategori qari dengan markah 85 mata, dia berharap dapat melakukan yang terbaik apabila mewakili Pahang di peringkat kebangsaan nanti.

KUANTAN 25 MAC 2021. Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur kali ke 64, Huzaifah Abdul Sukir dari Maran. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  “Saya minta semua rakyat Pahang berdoa supaya saya dapat memberikan yang terbaik. Untuk persediaan, saya akan kerap berjumpa guru untuk memperbaiki bacaan,” katanya yang mewakili Maran.     

  Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang 2021M/1442H disempurnakan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah yang mewakili kekanda baginda, Pemangku Raja Pahang.

  Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Dato’ Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz. 

  Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, majlis tilawah al-Quran yang dianjurkan, membuktikan keberkatan negeri ini di bawah naungan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

  “Di Pahang sejak dahulu hingga sekarang, lahir ramai sekali tokoh dan agamawan, pendakwah, ustaz, guru agama, qari dan qariah.

  “Negeri ini di bawah kerajaan negeri pimpinan Wan Rosdy akan terus istiqamah melaksanakan kerja-kerja dakwah dan diharapkan semoga terus diberkati,” katanya.