KUANTAN: “Berat hati hendak ke majlis konvokesyen ini dan ikutkan hati hanya duduk di rumah sahaja apabila teringat anak.
“Tetapi selepas dipujuk anak (Maidatul Nadia), saya tabahkan hati untuk datang juga,” kata Nor Fariza Ismail, 60, ibu kepada Allahyarhamah Siti Amira Syuhada, 25, penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, pada 4 Februari lalu.
Katanya, masih terngiang-ngiang suara Siti Amira yang ingin cepat sembuh dan menghadiri majlis konvokesyen.
“Namun, impiannya tidak kesampaian untuk naik pentas menerima skrol,” katanya selepas menerima skrol anaknya yang disampaikan Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dr Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 di UMP Kampus Gambang, di sini.
Kehilangan Siti Amira adalah satu kejutan selepas beliau kehilangan suaminya, Allahyarham Alias Yusof, 64 akibat COVID-19, pada Oktober tahun lalu.
Nor Fariza berkata, kehilangan dua insan tersayang dalam waktu yang terdekat amat memilukan.
“Tidak lama selepas suami meninggal dunia, Amira sering tidak sihat sehinggakan tidak dapat menelan makanan dengan baik. Pada awalnya, saya sangka Amira demam kerana rindu ayahnya,” katanya.
Beliau berkata, walaupun anak kelima daripada enam beradik sudah tiada dan tidak menikmati detik konvokesyen itu tetapi hakikatnya terharu dengan kejayaan arwah anaknya meraih Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri dengan Kepujian.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN