KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinamakan ‘Ikhtiar Makmur’ yang diadakan secara dalam talian melalui media sosial, malam tadi.
Manifesto itu memberikan enam fokus untuk memastikan rakyat dan negeri Pahang terus menikmati kestabilan dan kemakmuran.
YAB Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya, berkata fokus ikhtiar pertama ialah kesejahteraan rakyat dengan memperbanyakkan pemberian rumah percuma melalui Skim Rumah Rakyat Pahang (RRP), Rumah PR1MA Pahang, Rumah Makmur Pahang dan Rumah Mesra Rakyat.
Katanya, ikhtiar kedua ialah memperkasakan institusi agama, iaitu kerajaan BN komited untuk terus menjamin kemakmuran antara kaum dan agama seperti yang dinikmati sekarang.
“Ketiga, Kerajaan BN akan memperkasakan anak muda iaitu pengupayaan bakat masa depan anak muda dalam segala bidang termasuk profesional, akademik, sukan, kebudayaan dan perniagaan
“Keempat pula ialah memperkukuhkan tadbir urus untuk terus mengamalkan pentadbiran berintegriti tinggi, berinovasi dan berdaya maju,” katanya.
Wan Rosdy berkata, ikhtiar kelima membabitkan aspek ekonomi iaitu memastikan kerajaan negeri terus meningkatkan hasil pendapatan tanpa membebankan rakyat.
Katanya, ini kerana kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa sumber baharu yang boleh meningkatkan hasil pendapatan negeri.
“Selain itu, pelancongan adalah antara industri utama Pahang akan terus dirancakkan bagi memastikan Pahang menjadi destinasi utama pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.
“Ikhtiar keenam ialah kelestarian bekalan air dengan memfokus sekurang-kurangnya 90 peratus masalah bekalan air di Pahang dapat diselesaikan dalam lima tahun.
“Bagi menyelesaikan masalah bekalan air ini, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan menerusi 217 projek yang telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di seluruh negeri ini,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN