KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berikrar untuk menyelamatkan Harimau Malaya daripada pupus.
Baginda bertitah, Harimau Malaya yang menjadi simbol keberanian dan kekuatan rakyat Malaysia sudah lama hidup bebas di negara ini.
“Justeru, kita perlu membulatkan tekad dan mengambil langkah yang tegas untuk menyelamatkan Harimau Malaya.
“Dengan ini saya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berikrar akan melaksanakan tanggungjawab dan melakukan usaha yang terbaik agar spesies kebanggaan negara ini akan terus hidup dan tidak berada di ambang kepupusan.
“Saya berharap agar Kerajaan Pahang dapat melaksanakan langkah penting untuk memelihara dan memulihara Harimau Malaya.
“Khususnya memberikan keutamaan untuk menubuhkan unit penguatkuasaan yang berkesan bagi menghapuskan ancaman pemburuan haram serta memastikan pemburu haram yang terbabit dalam kegiatan itu ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
“Habitat utama Harimau Malaya iaitu di Greater Taman Negara dan kawasan di sekitarnya dilindungi segera dan jaringan koridor hidupan liar penting di kawasan Central Forest Spine dipulihkan,” titahnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Bagi mencapai langkah penting itu, baginda menyeru semua pihak memastikan diri dilengkapi dengan pengetahuan, teknologi, sumber dan bantuan teknikal yang penting daripada golongan pakar tempatan dan antarabangsa.
“Kita tidak boleh lagi bekerja secara sendirian dan sebaliknya perlu menyokong kerjasama dan kolaborasi penuh antara Kerajaan Pahang, Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri lain yang bersempadan dengan negeri Pahang.
“Jika kita bertindak dengan bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas hati, saya percaya bahawa kita pasti dapat menyelamatkan Harimau Malaya, ikon kemegahan Malaysia.
“Kita perlu melindungi kawasan hutan yang merupakan warisan biodiversiti yang tiada galang ganti di negara kita dan hutan akan terus menyediakan perkhidmatan ekosistem yang penting demi kesejahteraan rakyat,” titahnya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN