Ikuti temubual wakil Fikrah Pahang bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin yang menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Temerloh..

Ikuti temubual wakil Fikrah Pahang bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin yang menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Temerloh..

FP: Dato’ Timbalan ketua Bahagian Temerloh sejak 2013, mengapa kini ingin bertanding ke jawatan Ketua?

Dato’ Nor Azmi: Pada pemilihan kali ini kerusi Ketua Bahagian telah kosong apabila Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin tidak mempertahankan kerusi tersebut dan saya berkeyakinan dengan pengalaman sebagai TKB dan ADN Kuala Semantan saya mampu untuk mengemudi UMNO Bahagian Temerloh. Penawaran diri untuk mengisi jawatan ini adalah diatas semangat “1 Saf 1 Kebangkitan” iaitu UMNO Temerloh perlu dipimpin dalam barisan yang kukuh untuk terus bangkit setelah apa yang berlaku kepada parti dalam PRU baru-baru ini.

FP: Adakah keputusan ini mungkin menyebabkan sedikit isu dalaman di Bahagian Temerloh kerana mungkin ada perwakilan yang tidak mahu ada Pertandingan untuk jawatan Ketua?

Dato’ Nor Azmi: Menjadi kelaziman pada pemilihan sebelum ini dalam UMNO Bahagian Temerloh teraju Ketua Bahagian akan diteruskan tanpa pertandingan oleh timbalan semasa sekiranya ketua bahagian tidak mempertahankannya. Contohnya 2008 Dato’ Sri Sharkar selaku Timbalan Ketua mengambil alih teraju tanpa pertandingan daripada Dato’ Sri Mohd Sarit Jusoh pada masa itu dan begitulah sebelum-sebelumnya di era Dato’ Bahari Tan Sri Yahya dan Dato’ Sri Mohamed Jaafar waktu itu Bahagian Mentakab.

Sekiranya pada kali ini berlaku pertandingan, saya melihat ia sebagai keterbukaan demokrasi dalam UMNO, di mana UMNO sentiasa membuka ruang kepada ahli ahli parti yang berpontensi untuk menawarkan diri bagi apa juga jawatan dan mengetengahkan diri mereka.

Saya percaya setiap dari calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding adalah di atas rasa Sayangkan UMNO dan Insha Allah pertandingan akan berjalan secara sihat, berhemah dan penuh ukhwah.

FP: Apa perancangan Dato’ untuk membantu UMNO Bahagian Temerloh menarik lebih banyak sokongan dan bantu parti menang di PRU16?

Dato’ Nor Azmi: Sekiranya diberi peluang untuk menerajui UMNO Bahagian Temerloh fokus utama sudah tentulah untuk mengembalikan kerusi-kerusi Parlimen dan Dun kepada Barisan Nasional dan UMNO. Dengan cara mempergiatkan program dan gerak kerja yang bersasar dan mendasar kepada masyarakat akar umbi. UMNO Temerloh perlu segar dengan menyentuh segenap lapisan masyarakat meliputi ahli ahli masjid, peniaga, orang muda, masyarakat B40, profesional, penjawat awam dan sektor swasta, masyarakat bandar dan kampung. Perkara ini telah saya lakukan sewaktu menjadi Penyelaras Adun dan Adun Kuala Semantan dan diterima baik masyarakat tetapi pada PRU baru-baru ini mungkin tidak menjadi rezeki saya apabila berlaku tsunami pengundi yang tidak berpihak menjadi rezeki kita.

FP: Adakah kekalahan di Kuala Semantan tidak menggangu fokus Dato’ dari segi menarik sokongan walaupun kalah PRU15…

Dato’ Nor Azmi: Kekalahan pada PRU 15 bukan kekalahan di Kuala Semantan sahaja tetapi kekalahan UMNO di banyak kerusi di seluruh negara akibat tsunami politik yang berlaku. Saya optimis bahawa saya telah melakukan yang terbaik sejak mula diamanah pada 5 Mei 2018 hinggalah Dun Pahang di bubarkan.

Penawaran diri saya untuk jawatan ini adalah merupakan satu tanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan UMNO untuk terus relevan dan segar serta terus mendapat tempat di hati pengundi. Saya optimis sekiranya terpilih saya dan pasukan UMNO Bahagian Temerloh akan sederap melangkah memacu UMNO Bahagian Temerloh kehadapan.

FP: Apakah hala tuju Dato’ untuk UMNO Temerloh sekiranya terpilih sebagai Ketua Bahagian..

Dato’ Nor Azmi: Saya menawarkan diri atas keinsafan bahawa UMNO Temerloh harus bergerak di atas landasan “1 Saf 1 Kebangkitan”. Sebagai sebuah parti politik, semestinya halatuju utama adalah memenangi pilihanraya dengan mengambil kembali kerusi-kerusi Parlimen dan Dun kepada UMNO dan BN. Untuk mencapai matlamat itu, UMNO Temerloh harus bersama dalam 1 saf yang sama dari sudut idea dan gerak kerja. Segala kelemahan yang ada perlulah diperbaiki dan semua sosok kebaikan UMNO Temerloh mesti ditonjolkan kepada masyarakat.

Selain itu saya juga akan memberi fokus untuk mempersiapkan pelapis-pelapis kepimpinan masa hadapan sebagai penerus perjuangan supaya UMNO Temerloh sentiasa segar dalam lanskap politik Temerloh.