Ikutlah peraturan jalan raya, jangan degil

Ikutlah peraturan jalan raya, jangan degil

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengesan 115 kesalahan dilakukan penunggang perkhidmatan p-hailing dalam Operasi Khas Ops Merah sepanjang lima hari berakhir kelmarin.

Kesalahan tiada lesen memandu tertinggi iaitu 26 kes diikuti kesalahan nombor pendaftaran (22) dan melanggar lampu isyarat merah (19).

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, kesalahan lain ialah menggunakan motosikal tanpa cermin sisi (9 kes), tidak menampal lesen P (8), cukai jalan tamat tempoh (4), tiada insurans (4), melanggar isyarat lalu lintas sehala (4) dan lain-lain kes (19).

Menurutnya, daerah yang dikesan mencatatkan kesalahan tertinggi dilakukan golongan terbabit ialah di Temerloh dengan 39 kes dan daerah ini, 26 kes.

“Operasi khas Ops Merah diadakan bertujuan memantau tahap pematuhan undang-undang jalan raya mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) fokus kepada  penunggang perkhidmatan p-hailing di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Advokasi JPJ Pahang bersama penunggang perkhidmatan p-hailing di Taman Kerang, di sini, semalam.

Beliau berkata, operasi secara berterusan akan diadakan berikutan aduan orang awam terhadap pelbagai kesalahan pemandu  dan penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan terutama kesalahan yang boleh menjadi punca kemalangan maut.