KUANTAN: Dua belas individu yang terpilih sebagai Pelatih Pahang Talent 2022 begitu teruja dan mahu membalas kepercayaan yang diberikan sepanjang 12 bulan menjalani latihan berkenaan.
Pelatih, Nor Amir Abdul Rahman, 24, berkata terpilih sebagai antara 12 individu itu memberi inspirasi untuk dia menimba pengalaman sebanyak mungkin.
“Saya harap dapat memberikan sumbangan kepada kerajaan negeri,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan 12 Pegawai Pelatih Pahang Talent 2022 oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Bilik Mesyuarat Utama, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.
Rakan pelatihnya, Nur Atiqah Mahasan, 23, pula berkata, dia akan memanfaatkan segala pengalaman yang bakal ditimba untuk berdepan dengan masyarakat.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, 12 Pelatih Pahang Talent itu akan diletakkan di bawah seliaan Setiausaha Kerajaan Pahang dan dibimbing Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang.
Katanya, Pahang Talent adalah kesinambungan program pembangunan anak muda yang julung kali diadakan di Pahang.
“Program latihan diadakan dengan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Yayasan Pahang dan dikhususkan untuk graduan anak Pahang.
“Kesemua 12 pelatih terpilih adalah antara 400 graduan yang memohon. Proses saringan dan pemilihan bermula sejak April 2022 dan membabitkan tiga fasa yang komprehensif dan holistik,” katanya.
Wan Rosdy berkata, selepas tamat latihan, 12 pelatih itu berpeluang diserap ke agensi kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan negeri berdasarkan prestasi mereka sepanjang mengikuti program berkenaan.
“Saya harap pelatih akan memanfaatkan peluang untuk mengembangkan bakat, potensi diri dan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada kerajaan negeri serta rakyat,” katanya.