KUANTAN: Calon wakil rakyat baharu Barisan Nasional (BN) di Pahang berikrar untuk memenangi kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Dato’ Mohd Nizar Najib, 44, berkata sebagai muka baharu, beliau akan bersama membantu memperkukuh kerajaan negeri jika diberikan peluang oleh rakyat untuk berkhidmat.
“Kami akan terus membantu kerajaan negeri meneruskan agenda membela dan mensejahterakan rakyat.
“Saya akan fokus kepada usaha membangunkan anak muda dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran golongan itu selain membantu menarik pelaburan baharu ke kawasan Pekan,” katanya.
Beliau yang juga anak bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak berkata demikian ketika ditemui media selepas pengumuman calon BN bagi kerusi DUN oleh YAB Pengerusi BN Negeri Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini, hari ini.
Tee Choon Ser, 41, pula berkata, peluang bertanding kali kedua itu akan digunakan sebaiknya bagi memastikan DUN Teruntum kembali kepada BN.
“Walaupun tewas pada PRU-14, saya tidak pernah berputus asa untuk kembalikan keyakinan masyarakat bahawa BN adalah yang terbaik untuk terus memerintah Pahang,” katanya.
Bagi calon DUN Luit, Jamaluddin Marzuki, 45, pencalonannya adalah satu cabaran besar baginya dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran di kawasan itu.
“Saya akan berusaha lakukan yang akan terbaik dan teruskan gerak kerja sebelum ini untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Maran.
Calon DUN Sungai Lembing, Dato’ Umor Arbain Dollah, 64, yakin hubungan rapat antaranya dengan penduduk Sungai Lembing memberi kelebihan baginya memenangi kerusi itu.
“Saya tidak ada masalah dengan masyarakat dan harapan saya semoga pengundi memberi sokongan tidak kiralah Melayu, Cina, India dan Orang Asli untuk sama sama memajukan pekan Sg Lembint,” katanya.- NUR HANNAH KHADIJAH