KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan boleh menaikkan lagi imej mereka di mata masyarakat seandainya bertanding mempertahankan jawatan masing-masing dalam Pemilihan UMNO 2023 yang dijangka diadakan sebelum 19 Mei ini.
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Raub, Norhayani Shahdan, berkata ia juga dapat memberi gambaran bahawa demokrasi tetap subur dan diraikan dalam parti terbesar di Malaysia itu.
“Biar kedua-dua jawatan itu dipertandingkan bagi memberi mesej jelas kepada semua, baik di dalam mahupun luar parti bahawa UMNO ini sebuah parti yang demokratik.
“Ia juga secara tidak langsung dapat menaikkan imej Presiden (Ahmad Zahid) dan Timbalan Presiden (Mohamad). Jadi saya tak setujulah dengan usul tambahan supaya kedua-dua jawatan tidak dipertandingkan nanti,” katanya kepada Fikrah Pahang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Semalam, perwakilan UMNO Negeri Sembilan yang juga wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, mengemukakan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Bagi AJK UMNO Bahagian Temerloh, Dato’ Ridzuan Hazimin, usul tambahan itu jika diluluskan boleh memberi isyarat salah dan negatif kepada orang ramai terutama bukan ahli UMNO.
“Saya terkejut bila usul tambahan ini dibawa kerana ia tidak mencerminkan UMNO sebagai parti yang demokratik,” katanya.
Seramai 2,838 perwakilan daripada semua peringkat menghadiri dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 bermula 11 Januari hingga 14 Januari.
Mereka terdiri daripada 57 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), 30 wakil sayap parti, 2569 wakil Bahagian dan 182 ketua penerangan selaku pemerhati. – HELMY ABD RAHMAN