Individu dari kawasan berisiko dilarang masuk PPAP

Individu dari kawasan berisiko dilarang masuk PPAP

Muhammad Izz Zahin

KUANTAN: Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) melarang pelanggan yang baru pulang dari luar negara, Sabah atau negeri yang berisiko tinggi memasuki premis berkenaan.
Pengarah PPAP, Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaluddin, berkata mereka yang dikategorikan dalam kumpulan berkenaan, dinasihati menangguhkan sebarang urusan di perpustakaan itu.
Katanya, langkah itu bagi mencegah penularan wabak COVID-19 berikutan masih berlaku peningkatan kes di beberapa negeri.
“Bagaimanapun, PPAP masih lagi menerima kehadiran pelanggan dengan mengehadkan 100 orang.
“Setakat ini, operasi PPAP masih lagi dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad serta cuti umum,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagi orang ramai yang ingin berurusan di PPAP, beliau berkata, pihaknya meminta pelanggan yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal perlu dipatuhi dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19,” katanya.