Industri pelancongan Pahang makin pulih

Industri pelancongan Pahang makin pulih

KUANTAN: Peningkatan kedatangan pelancong ke Pahang mutakhir ini membuktikan industri pelancongan di negeri ini mampu pulih dan kembali rancak seperti sedia kala. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata ia juga secara tidak langsung memulihkan ekonomi setempat antaranya membabitkan bidang perhotelan, makanan, kraf dan perniagaan kecil.

“Hasil daripada perbelanjaan pelancongan bersifat dinamik atau secara mudahnya, seorang pelancong berbelanja sama seperti 10 orang tempatan berbelanja.

“Ini yang kita panggil kesan berganda. Sebagai contoh, seorang pelancong menginap di hotel atau rumah inap desa (homestay) tentu akan berbelanja untuk makan dan minumnya, bergerak dari satu tempat ke tempat lain, berbelanja untuk minyak kenderaan, beli ole-ole dan ke pasar raya sehinggalah mereka pulang ke tempat asal,” katanya ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Pejabat Pelancongan Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memainkan peranan membantu pemain industri pelancongan dengan memperkenalkan produk baharu dan relevan.

“Antara produk baharu diperkenalkan ialah aktiviti pelancongan dengan kenderaan reakreasi (RV) dan kerajaan negeri dalam usaha menyediakan kemudahan bagi tujuan.

“Setakat ini dua kawasan parkir RV dalam proses pembinaan iaitu di Rompin dan Bukit Fraser,” katanya. – HUSIN IBRAHIM