Industri pelancongan Pahang perlu bantuan segera

Industri pelancongan Pahang perlu bantuan segera

Husin Ibrahim

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Husin Ibrahim

JERANTUT: Industri pelancongan Pahang akan menjadi semakin parah dari segi nilaian ekonomi atau pendapatan daripada perbelanjaan pelancong, sekiranya pintu pelancongan negeri ini terus ditutup disebabkan penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sejak berlangsungnya beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 17 bulan, negeri ini kehilangan hasil daripada perbelanjaan pelancong antara RM18 bilion hingga RM20 bilion. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan,  Alam Sekitar,  Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang Dato Sri Mohd Sharkar Shamsudin menghulurkan bantuan kewangan kepada pengusaha pelancongan di Taman Negera. Kuala Tahan secara pandu lalu.

“Sepanjang tempoh itu, semua aktiviti dan program pelancongan terhenti terutama bila berlakunya halangan merentasi sempadan daerah dan negeri yang menyebabkan  pemain industri terpaksa menutup kawasan kawasan pelancongan kerana ketiadaan kunjungan pelancong.

“Semua pihak terkait dan terjejas dalam aspek putaran ekonomi, sama ada pengusaha, penduduk tempatan, pelancong dan kerajaan. Situasi ini ternyata amat parah dan akan menjadi bertambah parah sekiranya terus berlanjutan,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada 251 orang pengusaha pelancongan yang beroperasi di Taman Negara, Kuala Tahan, semalam. 

Menurutnya, kerajaan negeri sudah membelanjakan sebanyak RM580,000 sebagai bantuan pandemik COVID-19 dalam sektor pelancongan . 

“Kerajaan negeri juga sedang menyiapkan syarat dan peraturan tambahan untuk dilaksanakan apabila terdapat aktiviti pelancongan, iaitu berkonsepkan ‘gelembung pelancongan’ yang tidak menjadi penyebab kepada penularan pandemik in,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pahang dijangka membuka kawasan pelancongan Bukit Fraser kepada pelancong luar bermula 8 Ogos ini, diikuti Pulau Tioman, Taman Negara dan lokasi mempunyai daya tarik pelancongan di negeri ini, namun tertakluk kepada kebenaran pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pembukaan destinasi ini susulan keseluruhan penduduk tempatan dan pengusaha pelancongan di semua lokasi terbabit sudah menerima suntikan vaksin pada tahap imuniti kelompok sepenuhnya.

“Lokasi yang mana penduduknya dalam proses menerima suntikan vaksinasi sepenuhnya akan menyusul untuk dibuka antaranya Genting Highlands, Cameron Highlands dan Kuala Gandah,” katanya.

Pada masa sama, katanya, hanya pelancong yang sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya akan dibenarkan untuk mengunjungi kawasan-kawasan pelancongan berkenaan.

“Kerajaan negeri juga bersedia membantu pemain industri ini dalam soal promosi, kemudahan dan insentif bersesuaian supaya mereka dapat kembali beroperasi tanpa banyak halangan.

“Antara insentif diperkenalkan ialah pemberian baucer kepada pelancong untuk penginapan supaya mereka tidak perlu membayar harga tinggi untuk bilik sewaan dan pengusaha hotel masih boleh memperoleh keuntungan hasil sewaan,” katanya