KUANTAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hari ini, melancarkan Sistem InfoBencana JKM 2.0 iaitu portal yang menyediakan maklumat berkaitan pengurusan bencana kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sistem Infobencana JKM 2.0 yang dikenali Sistem Info Banjir sejak 2015 kini menggunakan dwibahasa, integrasi dengan jabatan berkaitan pengurusan bencana seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di samping Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, portal InfoBencanaJKM adalah platform pengumpulan dan pelaporan statistik mangsa bencana untuk kegunaan orang ramai dan pihak berkepentingan.
“Portal itu diharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutama ahli Keluarga Malaysia dalam menghadapi bencana,” katanya selepas melancarkan Sistem InfoBencana JKM 2.0 di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Kuantan, di sini.
Selain itu, katanya, portal berkenaan turut menyediakan maklumat pusat perpindahan, profil penduduk, bantuan pemulihan dan modul pengurusan stor.
“Portal InfoBencanaJKM itu juga mempunyai maklumat lain seperti paras air sungai, maklumat jalan tutup dan senarai fasiliti penyimpanan berkala,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN