Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan golongan remaja dan ibu bapa masing-masing supaya memberikan kerjasama sebaik-baiknya untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mewujudkan imuniti kelompok di Pahang.
Beliau berkata, seperti disyaratkan, golongan terbabit perlu mengisi borang kebenaran ibu bapa atau penjaga sebelum dibenarkan menerima suntikan.
“Suka saya umumkan, kira-kira 173,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Pahang, akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin berkaitan COVID-19 pada 20 September ini.
“Semua remaja ini akan menerima suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditetapkan, di bawah penyelarasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.
“Kepada bakal penerima suntikan dan ibu bapa atau penjaga, saya berharap dapat berikan kerjasama sebaik-baiknya demi mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan kita yang boleh membantu menangani penularan COVID-19 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, selain remaja dalam kalangan pelajar sekolah-sekolah menengah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), turut terbabit dalam program berkenaan ialah pelajar sekolah menengah agama negeri kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan institusi-institusi pendidikan kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).