Ingatlah 22 bulan, merosot pendapatan peneroka 

Ingatlah 22 bulan, merosot pendapatan peneroka 

PEKAN: Peneroka FELDA Chini yakin pada corak kepimpinan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) berupaya memacu negara yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat.

Warga emas, Mohd Alias Hanapiah, 71, berkata peneroka tidak lagi sanggup berhadapan dengan kejatuhan harga buah tandan segar (BTS) kelapa sawit yang menyebabkan pendapatan peneroka merosot.

“Saya berharap pengundi tidak lagi menyokong pembangkang sebaliknya setialah pada yang satu iaitu BN. Ingatlah apa dilakukan pemimpin pembangkang sepanjang 22 bulan memerintah negara.

“Harga BTS jatuh sehingga RM250 setan, peneroka begitu tertekan apabila terpaksa menanggung hutang dengan pendapatan yang berkurangan,” katanya.

Bagi Husna Khlon, 51 yang menetap di FELDA Tiga berkata, dia berharap calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Hati saya begitu dekat dengan BN dan UMNO. Saya menaruh sepenuh keyakinan kejayaan akan berpihak kepada calon BN kali ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sharim berkata, lebih banyak kemajuan akan dibawa ke FELDA Chini sekiranya beliau sekali lagi diberi mandat untuk meneraju di DUN Chini.

“Selain rumah generasi kedua FELDA, saya juga akan pastikan kemudahan asas seperti jalan dan bekalan air paip di beberapa kawasan akan dinaik taraf,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD