Ingkar SHMMP Aidilfitri: 12 kes kompaun berjumlah RM2,100

Ingkar SHMMP Aidilfitri: 12 kes kompaun berjumlah RM2,100

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN:  Sebanyak 12 kes ingkar membabitkan nilai kompaun RM2,100 direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2021.

   Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Normaswari Nordin berkata, selain kompaun itu, pihaknya turut merampas barangan bernilai RM730 hasil daripada pemeriksaan di 3,100 premis perniagaan membabitkan 3,095 peruncit dan lima pemborong bermula 21 April lalu hingga kelmarin.

   Katanya, daripada 12 kes itu, lapan membabitkan kegagalan peniaga meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

  “Tiga kes pula peniaga dikesan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum manakala satu kes gagal meletakkan tanda harga jualan barangan.

   “Antara lokasi yang dikesan melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ialah di pasar raya dan pasar mini membabitkan penjualan ayam standard, ikan kembung dan telur ayam gred A,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

   Dalam usaha KPDNHEP melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan untung yang berlebihan oleh peniaga, beliau berkata, anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga akan terus menjalankan pemeriksaan di lokasi yang menjadi tumpuan ramai.

   Katanya, lokasi tumpuan itu seperti di pasar awam, pasar tani dan pasar raya.

  “Sesi libat urus dan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sahabat seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan juga dipertingkatkan,” katanya.