Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
TEMERLOH: Lebih 200 kompaun dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac 2020 hingga kini.
Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, kompaun itu dikeluarkan ke atas premis dan individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang peularan COVID-19.

“Sejak Mac 2020, lebih 200 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di Temerloh., antaranya premis beroperasi tanpa permit dan individu tidak memakai ‘mask’ (topeng muka) dan tidak imbas MySejahtera.
“Bagaimanapun, kita agak kecewa apabila sampai ke hari ini, masih ada yang tak ikut SOP walaupun dah hampir dua tahun penularan (COVID-19) berlaku,” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis bersiap-sedia untuk mengawasi dan memantau PKP Diperketatkan (PKPD) yang akan dilaksanakan di Taman Cengal di sini, mulai tengah malam ini.
“Persediaan dah dibuat dan kita akan pasikan penduduk tidak keluar masuk sewenang-wenangnya selain mengadakan SJR (sekatan jalan raya) di taman itu yang mempunyai jangkitan aktif COVID-19,” katanya.