Ini kisah wira Sungai Tembeling ketika karam di Jeram Panjang

Ini kisah wira Sungai Tembeling ketika karam di Jeram Panjang

JERANTUT: “Kami tidak cemas ketika bot bantuan makanan itu karam kerana sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” kata Roslan Abdul Kassim.

Roslan, 58, adalah anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang mengetuai misi malang ketika menghantar bantuan kepada Orang Asli yang terjejas banjir di Kampung Aur. 

Bot yang dikemudi oleh adiknya yang juga anggota APM, Ahmad Turmizi, 52, dan pemuda suku kaum Bateq, Belandak  Bajak, 28, karam di Jeram Panjang, Sungai Tembeling, kira-kira 11 pagi, Rabu, 5 Januari 2021. 

Roslan yang berkongsi kisah cemas itu berkata, mereka tidak patah semangat dengan kejadian itu dan akan terus membantu masyarakat selagi terdaya.

“Apabila bot dah karam, saya cuba berenang ke tepi tebing tetapi gagal kerana arus deras. Apatah lagi saya berbadan besar. Saya cuba pula berenang menggunakan telefon bimbit di tangan sebagai alat pendayung untuk ke tebing. tetapi masih gagal. 

“Selepas bot tenggelam, saya mendapatkan dua kusyen bot untuk berpaut dan menghanyutkan diri. Saya hanyut kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dan dapat berenang ke tebing apabila sampai di kawasan Pulau Dedari. 

“Ketika hanyut, tubuh saya beberapa kali dilanggar kayu dan dahan pokok yang terapung dibawa arus di sepanjang sungai,” katanya.

Katanya, rakaman video yang dilakukanya adalah rutin apabila misi menghantar bantuan dilaksanakan bertujuan sebagai rekod dan dihantar kepada APM Jerantut.

Roslan berkata, beliau dan rakannya itu sudah biasa membuat kerja menghantar makanan di Kuala Tahan,  termasuk ketika bah pada 2014.

Ahmad Turmizi pula berkata, ketika bot mula tenggelam, dia gagal untuk menyelamatkan enjin bot miliknya itu daripada tenggelam.

“Saya terpaksa melepaskan enjin. Minyaknya pun dah banyak keluar ketika itu. Malah, saya sendiri sudah tertelan banyak minyak. Apabila karam, saya juga mengapungkan diri   mengikut arus. 

“Apabila sudah berada kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, barulah saya dapat berenang ke tepi sungai,” katanya. 

Pemuda Bateq, Belandak berkata, selepas bot karam, beliau terus berenang ke arah pulau kecil di tengah sungai sambil berpaut pada dahan kayu.

“Saya menenangkan fikiran dan mengumpul tenaga, kemudian barulah saya berrnang ke tebing sungai. Kemudian saya berjalan ke kampung Orang Asli berhampiran bagi bantuan untuk menyelamatkan dua rakan setugas saya,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE 

Tamat