Ini peluang kedua lanjut pelajaran ke IPT

Ini peluang kedua lanjut pelajaran ke IPT

BERA: Seribu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Bera bagi sesi 2016-2021 adalah antara 50,000 bekas pelajar yang akan diberi peluang kedua untuk melanjutkan ke institusi pendidikan tinggi (IPT). 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka boleh memperolehi peluang itu melalui program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 (JPKM) anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).

Katanya, mereka digalakkan hadir untuk memohon terus kepada IPT yang terbabit dalam program siri jelajah yang akan berlangsung di 50 lokaliti di seluruh negara selama dua bulan. 

“Katanya, peluang ini harus dimanfaatkan oleh anak anak Keluarga Malaysia yang kurang berkemampuan di segi kewangan khususnya penduduk pedalaman dan luar bandar.

“Fokus kerajaan adalah untuk membantu keluarga miskin di luar bandar dan  pedalaman,” katanya. 

Beliau berkata, melalui program jelajah ini, bekas pelajar yang ketinggalan akibat status keluarga dan pendapatan dapat meneruskan cita-cita mereka ke menara gading.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) peringkat negeri Pahang di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini. 

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali.

Turut diadakan majlis penyerahan cek replika RM4 juta tajaan bantuan pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Universiti Antarabangsa UNITAR serta Yayasan Petronas, yang masing-masing menyediakan biasiswa pendidikan RM1 juta kepada PRIHATIN. – MUHAMMAD NAJMIE