Inisiatif JENDELA harus dipercepatkan kata ADUN Semantan

Inisiatif JENDELA harus dipercepatkan kata ADUN Semantan

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) harus dipercepatkan terutama membabitkan kawasan luar bandar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin.

Beliau berkata, ketika negara berdepan ancaman COVID-19 ketika ini, capaian Internet perlu berada pada tahap terbaik, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi murid dan pelajar sekolah sekarang.

Ini kerana, katanya, capaian Internet sedia ada menyebabkan semua yang terbabit dengan PdPR terutama murid dan pelajar hilang semangat untuk belajar.

“Ramai ibu bapa berjumpa saya menyatakan hal ini. Mereka ini sudah mengeluarkan banyak belanja untuk membeli pelbagai peranti dan melanggan data Internet untuk anak mereka, tetapi agak kesal kerana capaian Internet sangat lemah.

“Saya juga diberitahu, sekarang ini pun ramai anak-anak yang sudah hilang minat mengikuti PdPR dan saya bimbang, jika kita menganggap remeh hal ini, semakin ramai yang hilang semangat sekali gus memberi kesan kepada pelajaran mereka,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas beucap di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara ini boleh direalisasikan, apatah lagi jawatan Perdana Menteri kini disandang pemimpin UMNO.

“Saya harap kerajaan negeri boleh mengusulkan perkara ini kepada Kerajaan Pusat kerana ia amat penting untuk kesejahteraan pendidikan anak-anak kita.

“Kita tak boleh nak tunggu JENDELA disempurnakan mengikut jadual asal iaitu penghujung 2022 kerana masa itu masih panjang sedangkan kita tak tahu sampai bila PdPR ini perlu dilaksanakan… mungkin lama lagi.   

“Kita perlu ingat di DUN Semantan sahaja ada 20,754 ibu bapa, 981 guru dan lebih 10,000 pelajar. Mereka ini semua pengundi dan bakal pengundi,” katanya.