Inspirasi air tangan Raja Permaisuri Agong

Inspirasi air tangan Raja Permaisuri Agong

BENTONG: Terinspirasi daripada ‘air tangan’ KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, lima kaki tangan Kompleks Penjara Bentong dan 30 penghuninya menghasilkan produk Pes Asam Pedas serta Rendang Betawi untuk dipasarkan.

Difahamkan, 30 penghuni penjara itu sedang mengikuti Program Pembangunan Insan (PPI) Fasa Tiga dan dipilih berdasarkan kebolehan serta  kreativiti masing-masing.

Menerusi perkongsian Istana Negara di laman Facebook rasminya, Tunku Azizah Aminah yang juga Penaung Diraja Seni dan Kraf Jabatan Penjara sempat menzahirkan penghargaan kepada penghuni penjara yang mencuba resipi daripada buku masakan baginda dan bersedia untuk berkongsi pelbagai resipi lain di masa akan datang.  

Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Majlis  Pelancaran Pes Asam Pedas dan Rendang Betawi dari buku resepi Air Tangan Tengku Ampuan Pahang di Pusat Vokasional Industri Bentong, Kompleks Penjara Bentong, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 10 pagi disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Penjara Dato’ Nordin Mohamad dan barisan pengurusan tertinggi Jabatan Penjara Malaysia.

Pes asam pedas dan rendang betawi  itu mematuhi piawaian daripada Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pes berkenaan boleh didapati di Galeri Jualan My Pride dan Koperasi Jabatan Penjara Malaysia pada harga RM7 bagi pek 150 gram. – HELMY ABD RAHMAN