Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan supaya institusi raja sentiasa dipelihara dan dikekalkan sebagai kuasa semak dan imbang terakhir untuk rakyat dan negara.
Baginda bertitah, raja pemerintah diberi tanggungjawab dalam perlembagaan untuk menaungi setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Titah baginda lagi, raja pemerintah dalam pelaksanaan perundangan juga perlu dihormati dan bukan dianggap sekadar formaliti sahaja.
Memetik laporan portal https://pahangmedia.my, baginda juga dilaporkan bertitah, kuasa raja pemerintah adalah signifikan mempengaruhi dan mengawal kuasa legislatif serta diperuntukkan dalam cabang legislatif atau perundangan.
“Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ‘Kuasa perundangan persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen, yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis Parlimen, yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat’.
“Institusi raja mengatasi garis politik yang kekal bertindak tidak berpihak atau ‘non-partisan’ dan boleh bertindak sebagai penimbang tara sekiranya timbul pertelingkahan politik kepartian yang boleh menggugat kestabilan negara.
“Dalam erti kata lain, ahli politik juga tidak boleh berselindung atau menggunakan institusi raja untuk kepentingan politik mana-mana pihak,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia 2021 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Persidangan itu turut dihadiri YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Ishak Muhammad.
Tengku Hassanal turut menasihatkan semua Yang Dipertua Dewan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri supaya menjalankan amanah dan tugas sebaik mungkin berpandukan kepada pengalaman, pengetahuan dan integriti yang tinggi bagi menjamin persidangan berjalan telus, adil dan saksama.
“Yang Dipertua mempunyai peranan penting bagi memastikan perdebatan badan legislatif berjalan dengan tertib, sopan dan teratur seperti ‘standing orders’ (peraturan majlis mesyuarat) yang ditetapkan,” titahnya.