KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu berkuat kuasa serta-merta
Beliau menggantikan Shahril Hamdan yang mengumumkan peletakan jawatannya, hari ini.
“Saya baru dimaklumkan sebentar tadi melalui telefon oleh Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan dan Setiausaha Agong, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa susulan daripada peletakan jawatan Shahril Hamdan dan perbincangan antara kepemimpinan tertinggi parti, saya telah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkuatkuasa hari ini.
“Surat rasmi telahpun ditandatangani kepemimpinan parti. Saya ucapkan terima kasih atas pelantikan ini dan atas kepercayaan parti terhadap saya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, beliau menerima pelantikan itu walaupun ketika ini UMNO boleh dikatakan sudah tidak punya apa-apa.
“Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang akan kita tempuhi bersama di kala ini, kita tidak boleh berputus asa.
“Tanggungjawab ini adalah berat lebih-lebih lagi di kala kita berada dalam kekalahan dan kesempitan ini, sebab saya percaya kita perlu membuat pembaharuan kepada parti dari dalam.
“Saya tidak akan lari dari perjuangan dan akan terus istiqamah dan berkorban untuk parti bersama akar umbi demi agama, bangsa dan tanah air. Sebab itu saya terima tanggungjawab ini dan akan memegang amanah ini dengan sebaiknya walaupun kita sudah tidak punya apa-apa. Doakan saya,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN