KUANTAN: Orang ramai di daerah ini yang berhajat pulang beraya di kampung, dinasihatkan mengisi borang balik kampung dan menghantarnya ke balai polis berdekatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata polis akan lebih kerap mengadakan rondaan dan pemantauan di kawasan kediaman mereka yang menghantar borang itu, sekali gus dapat mengurangkan risiko rumah dipecah masuk.
“Kita ada mengedarkan borang balik kampung di beberapa kawasan tumpuan ramai di bandar raya ini dan mereka yang berhasrat pulang ke kampung, boleh mengisi dan menghantar borang itu ke balai polis berhampiran.
“Kita juga nasihatkan orang ramai yang ingin pulang beraya di kampung supaya memaklumkan jiran supaya mereka (jiran) tahu kediaman itu kosong,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas mengadakan sesi ‘walkabout’ di kawasan Ekspo Bukit Sekilau di sini, malam tadi.
Mengulas lawatan itu, beliau berkata, polis berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pengunjung.
“Nampaknya pengunjung memahami kepentingan menjaga keselamatan diri dengan mematuhi SOP ditetapkan ketika berada di tempat tumpuan.
“Saya juga ingin menasihatkan supaya pengunjung yang datang membeli-belah supaya berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa jenayah jalanan,” katanya. – KABHI ISMAIL