Ismail Muttalib antara empat gugur keahlian UMNO 

Ismail Muttalib antara empat gugur keahlian UMNO 

KUALA LUMPUR: UMNO menggugurkan keahlian empat ahli parti yang didapati mewakili pihak lawan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mereka ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kawasan Padang Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau), Dato’ Sri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran) dan Datuk Azhar Ahmad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

“Pengguguran keahlian keempat-empat mereka ini selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO yang dengan jelas menyebut ‘Seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggakan parti, atau bertanding sebagai calon Bebas atau parli lawan dalam pilhan raya Dewan Rakyat dan DUN, akan gugur keahlian dengan sendirinya.

“Dengan pengguguran ini, jawatan mereka di peringkat UMNO bahagian masing-masing akan dipangku timbalan ketua UMNO bahagian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat calon berkenaan pada proses penamaan calon Sabtu lalu, boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan.

“Mereka ini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN