BERA: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terutamanya yang mengutamakan perjuangan Melayu, Islam dan Bumiputera digalakkan menyertai UMNO agar kesatuan dan kesepaduan mudah direalisasikan.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyeru NGO terbabit agar dapat bersepakat untuk menjadi ahli bersekutu UMNO agar wadah perjuangan negara menjadi lebih mudah.
Ismail Sabri berkata, sejarah UMNO yang ditubuhkan dalam 1946 adalah penyatuan Melayu secara keseluruhannya dengan menggabungkan persatuan dan kesatuan pada ketika itu.
Beliau berkata, dengan penyatuan Melayu terbentuklah parti Perikatan yang turut menggabungkan beberapa parti bukan Melayu dan bernaung di bawah satu payung untuk mentadbir negara.
“Penyatuan seperti ini penting untuk kestabilan politik di negara kita supaya negara boleh terus maju dalam apa bidang sekalipun terutama ekonomi.
“Melalui UMNO jugalah bergabungnya berbelas parti di bawah satu payung yang kemudian tertubuhnya Barisan Nasional pada 1974.
“UMNO juga menjadi pemangkin perpaduan kaum di negara ini sehingga tercapai kestabilan politik yang membawa kepada kejayaan dan kecemerlangan negara di mata dunia,” kata Ismail Sabri ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2021, di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ketua Bahagian UMNO Bera berkata, konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk menstabilkan politik, ekonomi dan sosial sebagai asas kemajuan negara.
Beliau berkata, dengan berada di dalam suasana Keluarga Malaysia, rakyat dan kerajaan akan saling peduli antara satu dengan lain tanpa mengira etnik dan latar belakang masing masing.
“Dalam satu keluarga contohnya sudah pasti ayah atau ibu akan mengambil tahu akan hal ehwal dan kebajikan ahli keluarganya yang lain.
“Demikianlah juga dengan kita yang ambil peduli akan masyarakat di sekeliling kita dan akan terbentuklah satu masyarakat harmoni dan bersepadu,” katanya. – HUSIN IBRAHIM